BUDAPEST: Sarawak mahu menjalin kerjasama lebih erat dengan Hungary terutama dengan Budapest dalam bidang pembangunan bandar, pertumbuhan industri, tenaga bersih dan perancangan wilayah sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan jangka panjang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi dari Sarawak dalam rangka lawatan kerja rasmi melawat Dewan Bandaraya Budapest itu mengadakan perbincangan dengan memfokus kepada pertukaran ilmu pengetahuan dan potensi kerjasama.
Semasa berucap pada majlis itu, Awang Tengah menzahirkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Budapest yang menganjurkan sesi libat urus berkenaan.
Awang Tengah turut mengetengahkan kekuatan Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia yang meliputi kawasan seluas 12.4 juta hektar dan dikurniakan dengan kekayaan sumber semula jadi, lokasi strategik dan memiliki tenaga kerja pelbagai.
Kekayaan sumber semula jadi dengan komitmen Kerajaan Sarawak kepada kelestarian, inovasi dan transformasi ekonomi, katanya, telah meletakkan Sarawak sebagai negeri berjaya menarik pelaburan dan perniagaan.
Awang Tengah menjelaskan, Bank Dunia mengiktirafkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi dan kini berusaha meningkatkan pendapatan isi rumah serta meningkatkan taraf hidup rakyat sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Dalam PCDS 2030, tambahnya, Sarawak fokus kepada pembangunan inklusif, kelestarian alam sekitar dan memakmurkan rakyat.
Untuk mencapai matlmat itu, katanya, Sarawak melabur dengan banyak dalam infrastruktur, kesalinghubungan digital, pembangunan modal insan dan sumber tenaga dibaharui termasuk tenaga hidro, hidrogen dan tenaga solar.
Katanya, Sarawak turut berusaha menjadi hab strategik bagi kemajuan pengilangan terutama dalam semikonduktor dan aeroangkasa sambil mengukuhkan peranan sebagai pengeluar tenaga bersih wilayah.
Mengenai pembangunan bandar, Awang Tengah berkata, reputasi Budapest dalam mengintregrasi perancangan bandar, sistem mobiliti dan ruang awam sangat relevan dengan Sarawak yang kini berusaha melaksanakan sistem ART sebagai sebahagian daripada agenda sistem pengangkutan.
“Sarawak berminat dalam mempelajari cara Budapest melaksanakan pembangunan dalam bandar yang padat, bijak menggunakan tanah dan perancangan pengangkutan dan menggalak pembangunan berorientasikan transit bagi menyokong pertumbuhan bandar serta ketahanan iklim,” tegas beliau.
Awang Tengah yakin sesi libat urus itu dapat memberi maklumat berguna dan bertukar-tukar pandangan serta menjalin kerjasama lebih erat antara Hungary dan Sarawak.
