Sarawak terus komited perkukuh industri pelancongan

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh industri pelancongan negeri.

Ia menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk aktiviti promosi, penganjuran acara bertaraf antarabangsa serta pembangunan produk pelancongan baharu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha berterusan itu dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Sarawak, selain memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak.

Sarawak turut meneliti potensi kerjasama dengan Selangor dalam beberapa bidang yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negeri.

“Ketika ini, kita sedang mengenal pasti perkara yang boleh diusahakan bersama Selangor.

“Sebab itu kita perlu melihat aspek yang ingin diberi penekanan oleh Selangor sebagaimana yang sedang dilaksanakan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi bersama rombongan di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur II, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata sektor pelancongan Sarawak terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila resit pelancongan negeri mencatat peningkatan positif.

Katanya, peningkatan tersebut mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang dijana hasil kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

“Keadaan ini turut memberi manfaat kepada pelbagai sektor berkaitan termasuk perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” jelas beliau.

Sementara itu, Mohd Najwan memaklumkan persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor berada pada tahap yang memuaskan.


Beliau berkata Selangor menantikan kehadiran semua kontinjen yang akan mengambil bahagian, khususnya kontinjen Sarawak yang sentiasa menjadi antara pencabar utama dalam temasya sukan berprestij negara itu.