Pemimpin adat perlu jadi benteng cegah perkahwinan bawah umur

SIBU: Pemimpin adat termasuk tuai rumah, ketua kaum, pemanca dan temenggung memainkan peranan lebih aktif dalam usaha membendung perkahwinan bawah umur.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, langkah itu bagi memastikan kanak-kanak dapat meneruskan pendidikan serta menikmati hak mereka untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Golongan itu mempunyai pengaruh dalam proses membuat keputusan berkaitan perkahwinan adat dan mampu menjadi barisan hadapan dalam usaha mencegah perkahwinan melibatkan individu bawah umur.

“Kita mahu lebih ramai memahami hak kanak-kanak. Jika mereka berkahwin pada usia muda, kebiasaannya mereka akan berhenti sekolah dan tidak sempat menamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Kesedaran Hak Kanak-kanak di sini, hari ini.

Fatimah menambah, perkahwinan dan kehamilan pada usia muda turut membawa risiko kesihatan kepada ibu serta bayi memandangkan tubuh remaja belum berkembang sepenuhnya untuk menghadapi proses kehamilan dan kelahiran.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri terus memperkukuh usaha pencegahan menerusi program advokasi dan pendidikan seksual remaja bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko kehamilan remaja serta perkahwinan awal.