BINTULU: Projek naik taraf Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Segan berjaya disiapkan.
Projek tersebut membabitkan kos hampir RM200,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata projek menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN ) Jepak tahun 2026 itu melibatkan pembinaan semula bangunan kayu uzur serta ditinggikan kira-kira tiga kaki bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat banjir.
“Rumah JKKK yang sebelum ini dalam keadaan kurang memuaskan telah dinaik taraf kepada bangunan konkrit yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan projek tersebut kepada JKKK Kampung Kuala Segan di sini hari ini.
Iskandar berkata, projek disiapkan dalam tempoh lima bulan itu menjadi pusat pentadbiran kampung.
Pusat itu bagi mengadakan aktiviti kemasyarakatan dan program pembangunan penduduk serta sebagai pusat perlindungan sementara bagi bencana seperti banjir atau kebakaran.
