Bandaraya Gyor model bangunkan Limbang, Lawas

GYOR (Hungary): Kejayaan Bandaraya Gyor, Hungary, yang mentransformasikan wilayah itu menjadi pusat ekonomi kompetitif akan dijadikan model perancangan membangunkan Limbang dan Lawas sebagai hab pertumbuhan di utara Sarawak pada masa hadapan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi Sarawak dalam rangka lawatan kerja ke Hungary dan Austria berkata, lawatan rasmi ke bandar raya berkenaan banyak memberi input serta pengetahuan mengenai perancangan membangunkan bandar yang mampan.

Bandaraya Gyor menggunakan lokasi strategiknya sebagai pusat membangunkan industri dan kesalinganhubungan wilayah untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan sambil mengekalkan kualiti hidup penduduknya, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Awang Tengah berkata, kejayaan Bandaraya Gyor itu sesuai dengan keadaan di Sarawak yang merancang membangunkan wilayah utara terutama Limbang dan Lawas kerana terletak sangat strategik dekat Brunei Darussalam, Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

“Kita berminat dengan cara Gyor membangun sebagai bandar pertumbuhan ekonomi terutama berkaitan dengan pembangunan perindustrian, pertumbuhan bandar, mobiliti, kemajuan tenaga kerja dan kesalinghubungan wilayah,” katanya.

Hasil daripada lawatan kerja itu, kata Awang Tengah, boleh memberi sumbangan kepada usaha membangunkan Limbang dan Lawas sebagai bandar kompetitif dan bandar sempadam mudah dihubungi sambil mewujud peluang ekonomi mampan untuk penduduk di utara Sarawak.