Dasar SET-P wujudkan 80,000 pekerjaan

BINTULU: Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) yang dilancarkan pada tahun lalu akan menjadi pemangkin utama kepada transformasi sektor tenaga negeri ini.

Malah, ia dijangka menjana lebih RM550 bilion kepada ekonomi Sarawak menjelang 2050.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, dasar tersebut turut dijangka mewujudkan 80,000 peluang pekerjaan baharu selain menarik pelaburan bernilai antara RM580 bilion hingga RM700 bilion.

Lebih 75 peratus manfaat ekonomi yang bakal dijana melalui SET-P dijangka dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sekali gus memastikan proses peralihan tenaga berlaku secara inklusif dan saksama, katanya ketika melancarkan Inisiatif Kelestarian dan Hijau Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) di sini hari ini.

Beliau berkata, SET-P memberi tumpuan kepada tujuh tonggak utama meliputi tenaga boleh diperbaharui, gas asli, kecekapan tenaga, mobiliti rendah karbon, hidrogen bersih, teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta tenaga alternatif.

Projek seperti H2ornbill dan H2biscus membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membangunkan industri hidrogen sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang mampan, katanya.

Hazland turut merakamkan penghargaan kepada BPHB di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato Ruslan Abdul Ghani, atas komitmen berterusan syarikat dalam mengintegrasikan amalan kelestarian ke dalam operasi pelabuhan.

Menurutnya, pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Hijau BPHB bukan sekadar menandakan penggunaan aset dan kemudahan baharu, malah mencerminkan kesediaan sektor industri untuk bergerak seiring dengan aspirasi Sarawak dalam membina ekonomi yang lebih hijau, berdaya tahan dan inklusif menjelang 2030 dan seterusnya mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih pada 2050.