STPM: Peratus calon cemerlang meningkat, 115 orang peroleh CGPA 4.00

KUCHING: Calon-calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini tahun lalu mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) meningkat 0.07, daripada 2.68 pada 2024 kepada 2.75 pada 2025.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, seramai 115 calon atau 2.19 peratus (%) memperoleh CGPA penuh 4.00 atau meningkat 0.58 perarus berbanding 92 calon (1.61%) pada 2024.

Peratusan CGPA mengikut kluster turut menunjukkan keputusan lebih baik berbanding tahun 2024, katanya pada sidang media mengumumkan pencapaian calon STPM 2025 Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, peratusan calon yang memperoleh CGPA penuh 4.00 ialah 2.19% atau 115 calon, 3.75 dan ke atas 5.88 % (309 calon), 3.00 dan ke atas 30.92 % (1,626 calon), 2.75 dan ke atas 12.82 % (674 calon) dan 2.00 dan ke atas 36.45 % (1,917 calon).

Roland Sagah berkata, jumlah calon yang berdaftar untuk menduduki STPM tahun 2025 ialah seramai 5,440 orang berbanding 5,877 calon pada 2024.

Daripada seramai 5,440 calon yang berdaftar, 5,259 calon menduduki peperiksaan berkenaan tahun lalu, katanya sambil menzahirkan tahniah kepada semua calon yang memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM tahun lalu.

Keputusan penuh peperiksaan STPM 2025 itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Kuala Lumpur semalam.