SIBU: Sebanyak tujuh acara utama termasuk Unity Walk yang menyasarkan penyertaan 10,000 peserta akan memeriahkan Sambutan Hari Sarawak 2026 di Sibu mulai 20 hingga 22 Julai depan.
Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, acara yang disusun merangkumi Karnival Jualan, Majlis Kesyukuran Pelbagai Agama, program Zumba, Unity Walk, sesi Townhall, Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat.
“Antara acara yang dijangka menjadi tumpuan ialah Unity Walk pada 22 Julai di Dataran Tun Tuanku Bujang yang menyasarkan penyertaan seramai 10,000 orang.
“Kita menubuhkan jawatankuasa kecil dan mengadakan mesyuarat di sini, hari ini bagi meninjau lokasi acara serta memastikan persiapan dilakukan dengan lancar,” katanya pada sidang media Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata, Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat akan dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan serta artis popular tanah air.
Katanya, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dijadual menghadiri sambutan tersebut.
“Turut dijangka hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua bangunan kerajaan, premis perniagaan, sekolah dan kediaman mengibarkan Bendera Sarawak bagi menyemarakkan lagi sambutan berkenaan.
