Pelajar Sekolah Swasta St. Joseph lawat makmal canggih UNIMAS

SAMARAHAN: Rombongan pelajar Sekolah Swasta St. Joseph melawat makmal canggih milik Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FRST) di Kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, baru-baru.

Menurut kenyataan UNIMAS, lawatan selama sehari itu memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman berada di makmal canggih itu
dengan menyertai aktiviti berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pengalaman praktikal ini dilihat berjaya memberi peluang kepada pelajar St. Joseph untuk lebih memahami konsep sains yang
kompleks, sekali gus mencetuskan minat dan keterujaan,” menurut UNIMAS.

Sementara itu, Dekan FRST, Profesor Ts. Dr. Faisal Ali Anwarali Khan berkata, FRST ditubuhkan pada Julai 1993 dan program pengajian ditawarkan merangkumi Sarjana Muda Bioteknologi Sumber, Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan, Kimia Sumber, Agroteknologi, Biologi Marin dan Air Tawar, Teknologi Zoologi, serta Sains dan Pengurusan Sumber Tumbuhan.

“FRST beriltizam terus melahirkan saintis muda Sarawak selari dengan dasar utama Sarawak seperti Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Sarawak,” tambahnya.