Sarawak laksanakan operasi pembenihan awan tiga hari

KUCHING: Kerajaan Sarawak melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama tiga hari bermula hari ini bagi meningkatkan potensi hujan di kawasan tadahan air dan empangan strategik di seluruh negeri.

Langkah proaktif itu diambil bagi memastikan kestabilan bekalan air mentah serta kelangsungan penjanaan tenaga hidroelektrik terus terjamin, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi yang berlangsung sehingga 21 Jun itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara pelbagai agensi persekutuan dan negeri.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, operasi tersebut melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa agensi berkaitan lain.

Katanya, tumpuan operasi diberikan kepada kawasan tadahan air dan empangan utama di Sarawak termasuk Empangan Bakun, Empangan Murum, Empangan Batang Ai dan Empangan Bengoh, selain kawasan Matang, Simunjan, Gerugu serta Kelalong.

“Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah mitigasi dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca yang semakin tidak menentu.

“Pelaksanaan operasi pembenihan awan ini merupakan antara pendekatan proaktif yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik pelbagai agensi demi kepentingan rakyat dan pembangunan wilayah Sarawak,” katanya pada sidang media Operasi Pembenihan Awan di Pangkalan Udara Kuching hari ini.

Beliau menjelaskan, operasi berkenaan bertujuan meningkatkan peluang pembentukan hujan di kawasan sasaran bagi membantu mengekalkan paras air di empangan strategik, sekali gus mengurangkan risiko kekurangan sumber air mentah.

Bagi memastikan keberkesanan operasi, pesawat TUDM akan melakukan penerbangan pada altitud antara 5,000 hingga 9,000 kaki di kawasan awan yang berpotensi dengan menyembur bahan higroskopik seperti garam gred industri untuk merangsang pembentukan hujan.

Uggah menegaskan bahawa operasi itu tertakluk kepada penilaian teknikal yang ketat berdasarkan kajian meteorologi, keadaan atmosfera dan kewujudan sistem awan yang sesuai.

Pemantauan radar cuaca serta analisis atmosfera turut dijalankan secara berterusan sebelum, semasa dan selepas operasi bagi memastikan objektif yang ditetapkan dapat dicapai dengan berkesan.