YADIM berhasrat perkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak

KUCHING: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berhasrat memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi memperkasa usaha dakwah yang lebih berhemah, inklusif dan selari dengan keunikan masyarakat majmuk di negeri ini.

Yang DiPertua YADIM Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, perkara tersebut dibincangkan semasa kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

Beliau berkata, Abang Johari turut memberikan pandangan serta nasihat mengenai pendekatan dakwah yang lebih harmoni bagi memperkukuh hubungan antara kaum dan agama, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Patinggi kerana sudi menerima kunjungan YADIM.

“Kami teruja dengan sambutan yang diberikan serta perbincangan yang berlangsung, khususnya mengenai bagaimana dakwah dapat dilaksanakan secara harmoni dan berhemah.

“Ia penting supaya tidak menimbulkan perkara-perkara sensitif dalam kalangan masyarakat, khususnya di Sarawak,” katanya dalam sidang media dalam sidang media selepas kunjungan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata YADIM turut membentangkan rancangan untuk menganjurkan Program Dakwah Negara di Sarawak yang dijangka dilaksanakan antara September hingga November tahun ini bagi meningkatkan kefahaman masyarakat serta mewujudkan suasana kehidupan yang aman, damai dan harmoni selaras dengan aspirasi negara.

Menurutnya, perincian mengenai program tersebut akan dibincangkan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi termasuk aspek pelaksanaan, lokasi dan pengisian program.

Turut hadir semasa kunjungan itu ialah Mufti Sarawak yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM Datu Khalidi Ibrahim serta Pengarah YADIM Sarawak Awang Dulhadi Awang Mat. – UKAS