KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) akan menganjurkan jerayawara pendidikan dan kerjaya Project of Dreams Realized (PRO-DR) 2026.
Menurut kenyataan TEGAS, jerayawara itu akan menjelajah selama 29 hari merentasi 14 daerah untuk membawa peluang pengajian tinggi, pembiayaan pendidikan dan prospek kerjaya terus ke pintu komuniti luar bandar agar tiada anak Sarawak terpinggir pembangunan negeri.
“Saya menyarankan pelajar, lepasan sekolah, ibu bapa dan seluruh komuniti untuk hadir ke Program Pendidikan dan Kerjaya (PRo-DR) di lokasi masing-masing,” menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, merangkap Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS, Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, program ini platform terbaik mendapatkan maklumat langsung dari institusi pengajian tinggi, penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pemain industri, termasuk peluang pembiayaan serta bantuan kewangan pendidikan.
“Gunakan peluang ini untuk merancang hala tuju pendidikan, meneroka pelbagai pilihan kerjaya dan memahami keperluan dunia pekerjaan masa hadapan,” tambahnya.
Aktiviti jerayawara ialah pameran ekspo pendidikan dan kerjaya 41 reruai yang menghimpunkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, penyedia latihan TVET, agensi kerajaan dan agensi pembiayaan utama, pameran Future TECH, pameran Hands-On STEM, serta pameran Planetarium Sultan Iskandar.
Ceramah Inisiatif Pendidikan Percuma Kerajaan Sarawak (Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) / Yayasan Sarawak), Program Penerokaan Kerjaya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak, Ceramah Motivasi oleh Kaunselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS ) / Penceramah Jemputan Ajak CUT diadakan.
Selain itu terdapat juga Perkongsian Industri Minyak dan Gas oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Halatuju Pendidikan dan Kerjaya Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Makaysia (STPM).
Untuk maklumat lanjut mengenai PRO-DR, layari laman web rasmi di www.tegas.org.my atau ikuti saluran media sosial TEGAS.
