KUCHING: Seramai 153 peserta mengesahkan penyertaan bagi menyertai Samarahan Bike Challenge 2026 pada 28 Jun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain Malaysia, penyertaan turut melibatkan peserta Indonesia, Kanada dan New Zealand.
Tambah beliau, perlumbaan berbasikal berprestij ini memasuki edisi ke-10 dan akan berlangsung di hadapan The Summer Shopping Mall, Samarahan.
“Penganjuran selama sedekad membuktikan Samarahan Bike Challenge terus mendapat tempat dalam kalangan komuniti berbasikal.
“Ia berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai antara acara sukan yang dinanti-nantikan di Sarawak,” katanya semasa sidang media penganjuran program berkenaan di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Tambahnya, perlumbaan berkonsepkan kriterium menggunakan laluan tertutup dan selamat.
Peserta katanya, akan bersaing menggunakan basikal jalan raya tanpa melibatkan laluan berbukit atau perjalanan jarak jauh.
“Sebanyak lapan kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Sarawak Close, Masters A, Masters B, Junior, Remaja Lelaki bawah 15 tahun, Wanita Terbuka dan Remaja Wanita bawah 15 tahun.
“Kategori Sarawak Close bagi peserta berumur 16 tahun ke atas mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 55 pelumba, diikuti kategori Masters A berumur 34 hingga 44 tahun seramai 29 peserta,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Kategori Masters B bagi peserta berumur 45 tahun ke atas pula menerima 23 penyertaan, Junior berumur 16 hingga 20 tahun sebanyak 25 peserta, manakala Remaja Lelaki bawah 15 tahun mencatatkan 17 peserta.
Bagi kategori Wanita Terbuka, seramai 10 peserta telah mendaftar, manakala kategori Remaja Wanita bawah 15 tahun setakat ini menerima tiga penyertaan.
Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang ditawarkan ialah RM27,005, dengan hadiah disediakan kepada pemenang tempat pertama hingga ke-10 bagi kategori tertentu.
Acara dianjurkan oleh Pejabat Daerah Samarahan dan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta kerjasama Persatuan Berbasikal Sarawak.
Penganjuran Samarahan Bike Challenge turut dilihat sebagai platform penting untuk mencungkil dan membangunkan bakat muda Sarawak dalam sukan berbasikal, khususnya sebagai persediaan menghadapi temasya seperti Sukan Malaysia (SUKMA).
Pendaftaran masih dibuka sehingga 27 Jun, iaitu sehari sebelum perlumbaan berlangsung.
