Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis lawat Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke

KUCHING: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mengadakan lawatan ke Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke di sini, hari ini.

Pasangan diraja itu tiba di perkarangan muzium sekitar jam 11 pagi dan disambut oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu bersama isteri, Datin Rosemarie Wong, selain pegawai serta kakitangan Jabatan Muzium Sarawak.

Sepanjang lawatan, baginda berdua diberi taklimat mengenai sejarah penubuhan Limbungan Brooke serta peranannya dalam perkembangan industri maritim dan pembinaan kapal di Sarawak.

Baginda turut meninjau pelbagai artifak, bahan pameran dan koleksi bersejarah yang dipamerkan di muzium berkenaan.

Baginda berdua turut berkenan menghadiri dan menyaksikan persembahan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026 di Kampung Budaya Sarawak sebagai sebahagian daripada jadual lawatan rasmi ke negeri ini.

Baginda berdua dijadualkan berlepas pulang ke Perlis pada Isnin selepas mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari di Sarawak.