Afiq minta DAPSY hentikan putarbelit fakta isu Pelabuhan Bintulu

KUCHING: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak digesa menghentikan tindakan memutarbelitkan fakta berhubung isu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim berkata, DAPSY dilihat masih enggan mengakui kesilapan mereka walaupun menerima kritikan daripada rakyat Sarawak berhubung kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Menurutnya, isu sebenar bukan melibatkan pengiktirafan kepada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya tindakan DAPSY yang didakwa menafikan usaha Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau turut menyuarakan kekesalan kerana sehingga kini DAPSY belum memohon maaf berhubung penyuntingan visual membabitkan Premier Sarawak yang mencetuskan kontroversi.

Afiq turut mempertahankan pampasan RM1.8 bilion bagi pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, sambil menyifatkan jumlah itu sebagai besar dan melebihi keseluruhan Belanjawan Pulau Pinang bagi tahun 2026.

Katanya, kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh membolehkan negeri itu melaksanakan pengambilalihan berkenaan, malah pencapaian tersebut turut diakui Perdana Menteri sebagai sesuatu yang luar biasa.

Beliau berkata, DAPSY tidak seharusnya memutarbelitkan fakta berkaitan kejayaan Kerajaan Sarawak dalam mendapatkan semula hak negeri, termasuk pengambilalihan aset strategik.

Pada masa sama, Afiq yang juga Timbalan Bendahari Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut mengalu-alukan kenyataan terbaharu DAPSY yang mengiktiraf usaha Kerajaan Sarawak, namun mengingatkan agar pengiktirafan itu diterjemahkan melalui tindakan dan bukan sekadar retorik politik.

Tegasnya, perjuangan menuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan secara konsisten oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berasaskan Perlembagaan Persekutuan demi kepentingan rakyat negeri itu.