Kapit bakal dibangunkan sebagai bandar hijau, berteraskan ekonomi rendah karbon

KAPIT: Kapit bakal muncul sebagai bandar hijau berteraskan ekonomi rendah karbon menerusi pelan pembangunan baharu yang sedang dirangka, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Langkah itu dalam usaha menyokong agenda pembangunan mampan dan peralihan tenaga menjelang 2030.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sedang mengkaji semula pelan pembangunan Kapit dengan mengambil inspirasi daripada model bandar lestari di Norway.

Ini termasuk cadangan membangunkan sebuah bandar hijau di seberang Sungai Rajang yang akan dihubungkan dengan sebuah jambatan baharu.

“Kita mahu Kapit menjadi sebuah bandar yang lestari, mesra alam dan dibangunkan secara terancang agar dapat menawarkan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kapit di sini hari ini.

Beliau berkata, pembangunan itu akan disokong oleh pengukuhan rangkaian jalan raya, termasuk pengambilalihan kira-kira 1,700 kilometer (km) jalan balak di Bahagian Kapit untuk dinaik taraf secara berperingkat sebelum dibuka kepada kegunaan awam tanpa bayaran.

“Langkah itu akan meningkatkan hubungan antara kawasan pedalaman dengan rangkaian jalan utama, sekali gus merancakkan pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Menurutnya, Kapit turut memainkan peranan penting dalam agenda tenaga hijau Sarawak menerusi potensi besar tenaga hidro, solar dan hidrogen yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi rendah karbon negeri.

Menyentuh Program SKS, Abang Johari berkata, program itu menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat bagi mendapatkan maklum balas secara langsung untuk dijadikan asas dalam merangka dasar pembangunan negeri.

Beliau berkata, maklum balas yang diterima sepanjang program itu meliputi pelbagai aspek termasuk kesihatan, pendidikan serta peluang melanjutkan pengajian menerusi inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak.

Katanya, Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan hasil negeri bagi membiayai pembangunan strategik, termasuk menaik taraf infrastruktur luar bandar, memperkukuh pembangunan modal insan serta memperluaskan ekonomi berasaskan teknologi dan tenaga hijau sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Turut hadir dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang; serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap ADUN Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat.