KUCHING: Anak muda di bandar raya ini digalak mengambil jurusan bidang kejuruteraan yang diperlukan sektor semikonduktor di universiti tempatan selepas tamat persekolahan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak( Sarawak Energy Berhad dan Petros) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata ini kerana beliau dimaklumkan syarikat milik Sarawak, SMD Semiconductor merekrut graduan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Swinburne Sarawak.
Katanya, graduan itu dari bidang kejuruteraan sains komputer, mekanikal, elektrik, fizik dan kimia untuk diberi pendedahan kepada sektor itu dengan kumpulan pertama seramai 70 orang selepas habis kursus, ditawarkan pekerjaan di syarikat berkaitan semikonduktor termasuk X-FAB dan syarikat lain di Pulau Pinang.
“Bidang ini menjanjikan pendapatan tinggi kepada graduan yang mana gaji permulaan kira-kira RM5,000. Ini yang kita inginkan untuk anak-anak muda,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Eksplorasi Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) 3.0 Satok di Sekolah Kebangsaan (SK) Combined, di sini, hari ini.
Ibrahim berkata, selain itu melalui SMD Semiconductor, Sarawak juga berjaya membangunkan chip rekaan sendiri yang mempunyai pelbagai aplikasi termasuk kegunaan industri, sistem penyongsang elektronik, penjanaan tenaga boleh diperbaharui, teknologi solar serta infrastruktur rak Al.
“Chip yang dibangunkan oleh Sarawak juga mempunyai potensi untuk digunakan dalam pembangunan satelit dan industri penerbangan termasuk oleh syarikat pengeluar pesawat seperti Airbus dan Boeing,” tambahnya.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan meluluskan peruntukan untuk SK Combined bagi memasang penghawa dingin sebanyak RM100,000.
Selain itu, pembinaan atap baharu RM100,000, kelas dan pejabat untuk Pendidikan Khas RM250,000 serta naik taraf kantin RM100,000.
Hadir sama Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB Satok, Abdul Samad Gany.
