SERIAN: Program Ooha Gawai Dayak AFFIN 2026 menjadi platform memperkukuh literasi kewangan, keselamatan digital dan kesedaran masyarakat luar bandar dalam berdepan cabaran kos sara hidup serta perkembangan teknologi.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said berkata, masyarakat perlu memanfaatkan ilmu literasi kewangan yang dikongsikan oleh AFFIN Bank.
Ia termasuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan dan membuka akaun di kaunter yang disediakan.
“Selain pengurusan kewangan yang berhemah, masyarakat juga perlu meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan digital.
“Ia bagi mengelak mereka menjadi mangsa penipuan siber, khususnya ketika menggunakan internet dan perbankan dalam talian,” katanya semasa berucap pada Program Ooha Gawai Dayak AFFIN 2026 di Kampung Mujat, Tebedu, di sini hari ini.
Menurutnya, Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memberi pendedahan penting kepada ibu bapa dalam memastikan penggunaan internet yang selamat dalam kalangan anak-anak.
Dalam pada itu, Sabri turut menekankan kepentingan memelihara warisan budaya sebagai identiti masyarakat yang boleh dipromosikan melalui pelbagai platform termasuk media sosial.
Program anjuran bersama Kumpulan AFFIN Bank dan JAPEN Sarawak di Kampung Mujat, Tebedu itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta termasuk 27 pengamal media serta penduduk setempat.
Hadir sama Pengarah Perbankan Sarawak AFFIN Bank Berhad, Victor Liew Wui, dan Ketua Kampung Mujat, Matthew Jatau.
