KUCHING: Seramai 200 peserta terdiri daripada ahli jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok, ketua kaum, pengurusan masjid dan surau serta wakil masyarakat setempat menamatkan Kursus Kecerdasan Buatan (AI) pada 13 Jun lalu.
Satok merupakan Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama menganjurkan kursus tersebut.
Program bertemakan “AI Satok Smart Community, Strong Destiny” itu dianjurkan Biro Pendidikan Satok dengan kerjasama Pusat Khidmat Parti PBB Cawangan Satok serta mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Pengerusi Biro Pendidikan Satok, Abdul Samat Gany berkata, kursus berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai modul AI yang boleh diaplikasikan secara langsung dalam tugasan harian.
Beliau berkata, peserta berjaya memanfaatkan ilmu yang dipelajari apabila mampu menghasilkan pelbagai bahan dan produk menggunakan aplikasi AI pada akhir program.
Abdul Samat, yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha mempercepat agenda transformasi digital komuniti di kawasan DUN Satok selaras dengan aspirasi pembangunan digital dan kelestarian kerajaan negeri.
Menurutnya, kursus berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak menerusi latihan praktikal yang dikendalikan pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan universiti itu, sekali gus memberi pendedahan mengenai potensi penggunaan AI dalam kehidupan seharian.
Selain kemahiran AI, peserta turut diberi penekanan mengenai penggunaan teknologi itu secara beretika, bertanggungjawab dan inklusif, dengan harapan dapat melahirkan komuniti yang lebih celik teknologi, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
