KUCHING: Program Kelam Carbut Belia 6.0 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tupong dijangka diteruskan secara berkala setiap bulan susulan mendapat sambutan positif daripada vendor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, sejak program tersebut diadakan pada awal tahun ini ia hanya melibatkan kira-kira 20 vendor dalam kalangan belia.
Namun katanya, bilangan itu meningkat hampir dua kali ganda kepada 49 vendor pada penganjuran kali keenam itu sekali gus menunjukkan minat belia menceburi keusahawanan.
“Peningkatan itu menunjukkan perkembangan positif apabila program itu berjaya menarik minat belia dalam bidang keusahawanan,” katanya selepas mengunjungi vendor Kelam Carbut Belia 6.0 N6 Tupong di kawasan parkir kereta Kubah Ria di sini, malam tadi.
Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak berkata, penganjuran program itu turut memberi peluang kepada belia menjana pendapatan, selain mendidik mereka dalam keusahawanan serta pengurusan acara.
Program ini juga berperanan untuk mengasah bakat dan kreativiti golongan muda yang sebelum ini mungkin tidak mempunyai ruang untuk berkembang.
“Ramai belia sebenarnya mempunyai bakat dalam bidang perniagaan, namun kekurangan platform menjadi kekangan. Justeru, program ini membantu mereka memulakan langkah dan seterusnya berdikari,” katanya.
Dalam masa sama, katanya terdapat inisiatif dalam kalangan peserta menyalurkan semula sebahagian keuntungan kepada komuniti melalui penganjuran aktiviti di kampung-kampung, dalam usaha memperkukuhkan hubungan sosial.
