Projek paip graviti tingkat bekalan air Zon Sematan

SEMATAN: Kerajaan Sarawak terus menyediakan kemudahan asas di Zon Sematan apabila memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan projek paip graviti .

Projek tersebut bakal meningkatkan bekalan air kepada penduduk di beberapa kampung di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, projek itu akan menghubungkan Sebat Dayak ke Kampung Pueh, Kampung Pueh Kenek dan Siru Dayak, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk yang memerlukan sistem bekalan air yang lebih stabil.

Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Bakomok di Balai Raya Kampung Pueh Kenek, di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan projek pembinaan jalan dari rumah ke rumah di Kampung Pueh Kenek siap sepenuhnya.

Beliau turut meluluskan permohonan pembinaan stor dewan secara gotong-royong bagi kegunaan masyarakat.

Menyentuh isu telekomunikasi, Azizul menggesa penduduk mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan susulan diambil untuk meningkatkan liputan rangkaian di kawasan tersebut.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf dari Kampung Pueh, Kampung Pueh Kenek, Siru Dayak dan Sebat Dayak.