Pembangunan pesat Samarahan bukti perancangan strategik Kerajaan Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan agenda pembangunan secara terancang bagi memastikan Kota Samarahan berkembang sebagai pusat pertumbuhan baharu yang moden.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu bagi memenuhi keperluan rakyat seiring perkembangan pesat kawasan itu.

Katanya, pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik yang sedang dilaksanakan membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan sistem perhubungan, kemudahan awam dan persekitaran bandar yang lebih berkualiti untuk kesejahteraan rakyat.

Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk penaiktarafan rangkaian jalan kepada laluan dua hala, pembinaan jalan penghubung baharu serta pembangunan sistem pengangkutan yang bakal meningkatkan kesalinghubungan Samarahan dengan Kuching dan kawasan sekitarnya.

“Apa yang kita rasai pada masa ini, kesesakan lalu lintas pada waktu pagi dan petang hanyalah sementara. Apabila semua projek siap kelak, keadaan akan menjadi jauh lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Festival Makanan dan Budaya Samarahan 2026 di sini, malam tadi.

Abdul Karim berkata, transformasi yang berlaku hari ini memperlihatkan perubahan ketara Samarahan daripada sebuah kawasan yang sebelum ini kurang membangun kepada antara wilayah yang berkembang pesat di Sarawak serta menjadi sebahagian daripada Greater Kuching.