KUCHING: Sarawak perlu meningkatkan kapasiti tenaga kejururawatan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan susulan pertambahan jumlah warga emas apabila negeri ini dijangka menjadi negeri menua menjelang 2028.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri melaksanakan kajian profil warga emas di seluruh Sarawak bagi merancang keperluan perkhidmatan kesihatan dan penjagaan pada masa hadapan.
“Hasil kajian menunjukkan permintaan terhadap jururawat, penjaga harian serta kemudahan penjagaan warga emas dijangka terus meningkat seiring perubahan struktur penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena Sambutan Hari Jururawat 2026 di sini malam tadi.
Menurutnya, persediaan awal amat penting supaya sistem sokongan kepada warga emas dapat berfungsi dengan baik apabila Sarawak memasuki fasa negeri menua dalam tempoh dua tahun lagi.
Fatimah berkata, profesion kejururawatan di Sarawak turut mendapat pengiktirafan di luar negara, termasuk daripada institusi kesihatan di Singapura.
Katanya, kecekapan klinikal serta penguasaan beberapa bahasa memberi kelebihan kepada jururawat Sarawak sehingga menjadi antara tenaga profesional yang mendapat permintaan tinggi.
