Institusi keluarga stabil bentuk generasi berilmu

DARO: Pengukuhan kepimpinan di peringkat akar umbi dilaksanakan seiring usaha memperkukuhkan institusi keluarga bagi melahirkan komuniti lebih kukuh, berdaya tahan dan sejahtera.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, berkata kekuatan masyarakat bergantung kepada keupayaan pemimpin dan keluarga yang memainkan peranan masing-masing.

Katanya, kepimpinan berkesan bukan sahaja penting dalam menggerakkan pembangunan komuniti, malah perlu disokong institusi keluarga yang stabil sebagai asas pembentukan generasi berkualiti.

“Program ini membantu peserta memahami tanggungjawab sebagai pemimpin komuniti, selain menyedari cabaran yang boleh menjejaskan keharmonian institusi keluarga,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Kursus Motivasi dan Kepimpinan Keluarga di Masjid Baitul Falah, Kampung Pangtray, di sini, semalam.

Program anjuran KEMAS Parlimen Igan itu disertai kira-kira 100 peserta dengan dua pengisian utama, iaitu slot Kepimpinan Komuniti dan ceramah berkaitan Keruntuhan Institusi Keluarga.

Ahmad Johnie berharap program berkenaan memberi manfaat kepada peserta serta menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat akar umbi yang lebih bersatu dan saling menghormati.