Hospital Lawas perlu diperkasa sebagai hospital pakar

LAWAS: Penempatan doktor pakar secara tetap di Hospital Lawas di sini, amat perlu bagi memastikan penduduk di kawasan utara Sarawak tidak lagi terlalu bergantung kepada hospital rujukan yang jauh.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah itu penting bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan pakar tanpa perlu berulang-alik ke Limbang, Miri atau Kota Kinabalu.

Menurutnya, Hospital Lawas baharu berkapasiti 76 katil mempunyai potensi untuk berkembang menjadi hospital pakar, namun kekangan sumber manusia ketika ini menyebabkan pengisian jawatan masih belum lengkap.

“Saya berharap doktor pakar, Insya-Allah, akan menetap di Hospital Lawas berbanding doktor pakar lawatan yang berjadual.

“Kesukaran rakyat mendapatkan rawatan pakar menyebabkan mereka terpaksa dihantar ke hospital yang jauh.

“Saya berharap hospital ini akan menjadi hospital pakar supaya dapat mengurangkan kebergantungan rakyat kepada hospital yang jauh,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Lawas di sini, hari ini.

Hanifah berkata, faktor geografi menjadikan penyediaan kemudahan kesihatan yang lebih lengkap di Lawas amat penting, dengan perjalanan ke Limbang mengambil kira-kira satu jam setengah, manakala ke Miri boleh mencecah sekitar tiga jam setengah melalui laluan tertentu.

Keperluan terhadap perkhidmatan rujukan turut dapat dilihat menerusi rekod 2025 apabila Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Lawas menerima 14,083 pesakit, selain 693 pemindahan pesakit ke hospital lain.

Daripada jumlah itu, sebanyak 440 pesakit dipindahkan ke Limbang, Miri (151) dan Kota Kinabalu (102).

Hospital baharu itu dilengkapi dua bilik pembedahan, sembilan mesin hemodialisis, empat katil Wad Kebergantungan Tinggi serta makmal ICT yang membolehkan konsultasi jarak jauh dengan pakar perubatan.