LAWAS: Projek kerja bangunan Hospital Lawas berkapasiti 76 katil, sudah siap dan diserahkan hari ini.
Projek itu membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM183 juta.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menyempurnakan majlis penyerahan projek terbabit dikenali sebagai Cadangan Pembinaan Hospital Lawas (76 katil), Lawas, Sarawak (reka dan bina) Fasa 2B: Kerja Bangunan dan Kerja-Kerja Berkaitan – Tender Semula.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah serta Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Alexander berkata, amanah besar ini digalas oleh Pasukan Projek Khas Kedua, Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak 30 Jun 2020 dan direalisasikan melalui kaedah Reka dan Bina oleh kontraktor yang dilantik, MCS Management Sdn. Bhd.
“Dengan kapasiti 76 katil, kemudahan ini diharapkan dapat meningkatkan akses masyarakat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.
Beliau juga berharap hospital ini dapat menjadi pemangkin peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan di Lawas, sekali gus memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap komitmen Kerajaan memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat.
Alexander juga mengingatkan pihak kontraktor
supaya terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defect Liability Period – DLP), khususnya dengan mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan dan kecacatan yang dikenal pasti.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan terus melaksanakan pemantauan pasca penyerahan bagi memastikan kemudahan ini berfungsi dengan baik, disenggara sewajarnya dan terus memenuhi spesifikasi serta standard yang ditetapkan.
