Penghormatan terakhir buat Debra

KUCHING: Tangisan dan suasana pilu mengiringi perjalanan terakhir jururawat, Debra Moset, 40, apabila jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Semadang, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Sebelum disemadikan, jenazah mendiang terlebih dahulu dibawa ke Gereja St Patrick Semadang untuk upacara sembahyang sebelum ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan mengiringi perjalanan terakhirnya ke tanah perkuburan.

Debra yang berkhidmat sebagai jururawat lebih 10 tahun di Miri, meninggalkan suami, John Then Hua, 44, serta dua anak, Euodia Then Suling, 15, dan Eugene Then Kuling, 12.

Jasad mendiang diterbangkan dari Miri semalam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira jam 11.47 pagi sebelum dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Semadang untuk penghormatan terakhir.

Ketibaan jasad mendiang turut disambut Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap ADUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil dan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Dato Ik Pahon Joyik, selain diziarahi Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Jinep.

Pemergian Debra turut dirasai rakan dan kenalan yang mengenalinya sepanjang lebih sedekad berkhidmat sebagai petugas kesihatan, termasuk ketika menjalankan tugasan FDS yang membawa petugas perubatan ke kawasan pedalaman Sarawak.

Debra adalah antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter BO-105 berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira jam 3.21 petang, 8 September lalu. Empat lagi mangsa ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31, dan jururawat Jessie Paya Jok, 44.