KUCHING: Sarawak mahu nisbah satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak dikekalkan selaras dengan persetujuan di bawah Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nisbah berkenaan berasaskan prinsip perwakilan berkadar seperti yang dinyatakan dalam IGC serta Laporan Suruhanjaya Cobbold.
“Kita mesti mempunyai kuota satu pertiga.
“Jika jumlah keseluruhan 100 kerusi, satu pertiga ialah kira-kira 33 kerusi, manakala jika 200 kerusi, jumlahnya menjadi 66,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Sarawak Semiconductor Flagship, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedudukan nisbah itu berubah selepas Singapura keluar daripada Malaysia kerana bahagian kerusi yang sebelum ini turut dimiliki Singapura kemudiannya dikongsi dengan negeri-negeri lain.
“Kita mahu memperbetulkan semula keadaan ini supaya kembali selari dengan nisbah yang sepatutnya, dan Perdana Menteri juga bersetuju dengan perkara tersebut,” tambahnya.
Menurutnya, sekiranya terdapat penambahan kerusi Parlimen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga perlu menerima penambahan secara seimbang bagi mengekalkan nisbah satu pertiga.
Beliau berkata, penetapan sempadan kawasan baharu pula diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas persetujuan terhadap nisbah tersebut dicapai.
