Kekalkan semangat kebersamaan Malaysia

KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak perlu mengekalkan semangat kebersamaan Malaysia dalam melangkah ke hadapan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata semangat kebersamaan harus kekal menjadi tonggak dalam melahirkan sebuah Malaysia yang lebih matang, seimbang dan menghargai kekuatan setiap wilayah serta rakyatnya.

“Bagi Perkhidmatan Awam Sarawak, semangat ini mesti diterjemahkan melalui iltizam dalam penyampaian perkhidmatan untuk memastikan pembangunan benar-benar dirasai rakyat,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia 2026.

Beliau berkata enam puluh tiga tahun, satu tempoh yang panjang dan sarat dengan kisah suka dan duka membina Malaysia yang menuntut mereka mengharungi pelbagai rencam dan cabaran serta ada ketika terasa mudah, kadangkala menguji ketahanan mereka.

“Namun, setiap fasa integrasi nasional mengajar kita bahawa kekuatan sebenar Malaysia bukan sekadar pada apa yang telah dicapai, tetapi pada keupayaan kita untuk terus saling memahami, menghormati dan mempercayai,” tambahnya.

Katanya, masih banyak yang perlu mereka usahakan dan Sarawak akan terus menggalas peranannya dalam mencorak masa depan negara dengan membawa kekuatan, keunikan dan aspirasi tersendiri.