KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memperkukuhkan kerjasama dalam memperluaskan program seni dan kebudayaan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerjasama antara JKKN Sarawak, Majlis Seni Sarawak (MSS) dan kementeriannya lama terjalin menerusi pelbagai program dan festival.
Katanya, antara program utama ialah Festival Gendang Sarawak yang dianjurkan setiap tahun sempena Regata Sarawak yang berlangsung lebih sedekad.
“Kerjasama ini juga diperkembangkan, termasuk menerusi penglibatan sekolah,” katanya selepas menyaksikan penyerahan lori pentas bergerak daripada JKKN kepada MSS di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Menurutnya, Festival Gendang Sarawak turut melibatkan pertandingan peringkat zon sebelum peserta terbaik beraksi di peringkat akhir.
Festival tahun ini jelasnya, dijangka sekali lagi disertai Brunei Darussalam, manakala delegasi dari Kalimantan dijangka mengambil bahagian buat pertama kali.
Perkembangan itu sekali gus kata Abdul Karim, memperlihatkan potensi festival berkenaan sebagai platform seni dan kebudayaan serantau yang menghimpunkan penyertaan dari negara serta wilayah jiran.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap kementerian, Morshidi Fredrick, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Awang Ikman Awang Sepian serta Pengarah JKKN Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
