Lebuh raya Baram-Bintulu kurangkan kebergantungan pengangkutan udara

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan rangkaian lebuh raya siap menjelang 2030 bagi menyediakan alternatif pengangkutan darat kepada penduduk selain penggunaan kapal terbang dan helikopter.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan lebuh raya termasuk di kawasan Baram kini sedang dilaksanakan manakala kerajaan negeri turut mengambil alih penyelenggaraan jalan pembalakan.

“Lebuh raya ini memberikan penduduk pilihan pengangkutan darat selain kapal terbang dan helikopter dengan kos yang lebih menjimatkan,” katanya ketika ditemui selepas Program Sarawak Semiconductor Flagship di sini, hari ini.

Beliau berkata, jaringan lebuh raya utama Sarawak melibatkan kira-kira 1,420 kilometer (km) mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) Reka Bentuk Jalan R3, selain kira-kira 5,000 KM jalan pembalakan yang akan disatukan.

“Sasaran kita ialah menjelang 2030, rangkaian lebuh raya ini siap manakala helikopter kekal diperlukan untuk pedalaman yang sukar diakses dan kes kecemasan,” tambahnya.

Menurutnya, jaringan jalan darat turut memberi kemudahan kepada penduduk rumah panjang untuk mendapatkan perkhidmatan termasuk ke klinik tanpa terlalu bergantung kepada bot ekspres.

Pendekatan gabungan jalan darat dan helikopter dilihat sebagai pilihan pengangkutan sesuai mengikut keadaan serta keperluan kawasan di Sarawak. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI