Sarawak tuan rumah Sukan Solidariti Islam 2029

KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Sukan Solidariti Islam (ISG) 2029 yang dijangka menghimpunkan penyertaan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, hak penganjuran itu diterima di Taif, Arab Saudi baru-baru ini, disusuli pemeteraian persetujuan serta kunjungan hormat kepada Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz Turki Al Faisal.

“Penganjuran acara besar ini merupakan usaha kita memperkasakan pelancongan sukan dan menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak.

“Selain atlet, jurulatih dan kru, ahli keluarga serta penyokong juga akan berkunjung ke Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan lori pentas bergerak daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak kepada Majlis Seni Sarawak (MSS) di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kuching dijangka menjadi pusat utama penganjuran, dengan kemungkinan beberapa acara diperluaskan ke Serian jika diperlukan.

Jelasnya, dengan beberapa kemudahan dan kompleks sukan sedang dinaik taraf, Sarawak bersedia menghadapi temasya berskala besar itu.

Jelasnya, ISG 2029 turut menjadi platform memperkenalkan Sarawak dengan lebih meluas kepada masyarakat antarabangsa, khususnya negara anggota OIC.

Mengenai kos penganjuran, beliau berkata jumlah sebenar masih belum diperincikan, namun dijangka lebih tinggi berbanding Sukan SEA 2027 yang melibatkan 11 negara.

“Kos penganjuran Sukan SEA sekitar RM350 juta. Jadi untuk ISG, kos berkemungkinan meningkat antara RM50 juta hingga RM100 juta,” katanya. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI