Pelajar cemerlang UP-DLP berpeluang ke sekolah antarabangsa

KUCHING: Pelajar mencatat prestasi cemerlang dalam Ujian Pengajian (UP) Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak akan ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sekolah antarabangsa milik Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak (YS).

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, peluang itu penting bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan turut mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tinggi.

Katanya, memang tidak dinafikan ramai ibu bapa berkemampuan menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa atau sekolah swasta seperti Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph’s, tetapi peluang perlu diberi kepada masyarakat tidak berkemampuan.

“Sebab itu, melalui Yayasan Sarawak dan hasil visi Premier Sarawak, kita menubuhkan sekolah antarabangsa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni calon ujian percubaan UP- DLP di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini, hari ini.

Ujian tersebut membabitkan 74 murid SK Merpati Jepang yang berlangsung selama dua hari melibatkan tiga subjek iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Selain SK Merpati Jepang, sekolah lain ialah SK Rakyat Haji Bolhassan (64 murid) dan SK Combined (49 murid), kesemuanya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.

Ibrahim Baki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, ujian tersebut penting sebagai persediaan kepada pelajar menduduki ujian bagi menilai pencapaian akademik masing-masing.

“Sama ada lulus atau gagal bukan perkara utama, tetapi paling penting ialah pelajar mempunyai pengalaman menduduki ujian dan dapat dikenal pasti berdasarkan pencapaian mereka,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, Sarawak kini mempunyai kira-kira lima sekolah antarabangsa masing-masing di Kuching, Sibu, Miri dan Sri Aman.

“Ini boleh menjadi platform menghimpunkan pelajar terbaik dari seluruh negeri.

“Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi digital dan ekonomi bernilai tinggi. Kita mempunyai populasi yang kecil, jadi satu-satunya cara ialah kita perlu bergerak ke arah ekonomi bernilai tinggi, termasuk ekonomi digital, hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.