KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghargai persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak kepada tidak kurang satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
Beliau berkata, persetujuan itu selaras peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang menyatakan persetujuan Kerajaan Persekutuan menetapkan ratio perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga seperti termaktub dalam MA63 dan Laporan IGC,” katanya.
Beliau berkata demikian di Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.
Sambutan itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri Dato Sri Anwar Ibrahim serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Bagi pihak Kerajaan GPS Sarawak, Abang Johari turut merakamkan penghargaam kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang bersetuju menentukan suatu formula bagi perkongsian hasil antara Kerajaan Pusat dan Sarawak seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.
Abang Johari turut menghargai persetujuan Kerajaan Pusat untuk meletakkan bidang pelancongan dalam Senarai Bersama di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, langkah ini akan membuka ruang untuk kolaborasi dan kerjasama yang lebih kukuh antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak untuk memajukan bidang pelancongan.
Abang Johari berharap komitmen berkenaan dapat membawa kepada kefahaman bahawa pengiktirafan hak dan keistimewaan Sabah serta Sarawak merupakan sebahagian daripada agenda nasional.
Beliau yakin dengan mengambil kira kepentingan pembangunan semua wilayah secara menyeluruh.
“Kesatuan rakyat negara ini akan menjadi lebih utuh kerana mereka akan merasa dihormati, dihargai dan diberi perhatian selayaknya,” katanya.
