KUCHING: Pelabuhan Bintulu secara rasmi bertukar status daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri Sarawak, berkuat kuasa 1 September lalu.
Peralihan itu menyaksikan semua harta, hak, kepentingan dan obligasi Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dipindahkan dan diletak hak kepada Kerajaan Sarawak.
Detik bersejarah itu dimuktamadkan menerusi majlis simbolik penyerahan dokumen rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.
Majlis tersebut disaksikan Perdana Menteri, Dato Sri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dokumen rasmi berkenaan diserahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Antara dokumen diserahkan ialah Perintah Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan Jadual) 2026 dan Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) (Tarikh Peletakhakan) 2026.
Turut diserahkan ialah dokumen penetapan tarikh kuat kuasa Akta 858 berkaitan pemansuhan status Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan Persekutuan dan Akta 859 berkaitan pembubaran LPB.
Pengambilalihan itu membabitkan nilai RM1.8 bilion yang dipersetujui 4 Februari 2026 sebelum Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memeterai Perjanjian Penyelesaian pada 21 Jun lalu.
LPB dibubarkan dan peranan sebagai pihak berkuasa kepada Pelabuhan Bintulu diambilalih oleh Bintulu Port Authority (Sarawak) yang merupakan badan berkanun negeri ditubuhkan 1 September 2024 di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan 1961.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Terdahulu, Anwar tiba di LTAK sekitar jam 5.35 petang tadi, dan akan menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.
