BINTANGOR: Lebih 300 penduduk daripada pelbagai kaum menjayakan perarakan sempena Sambutan Hari Malaysia di sini, hari ini.
Perarakan terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina dan Iban itu melambangkan kesepaduan komuniti apabila mereka bersama-sama menyertai perarakan sejauh kira-kira dua kilometer mengelilingi kawasan Kampung Melayu Bintangor.
Acara berkenaan dimulakan dari Dewan Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebelum bergerak mengikut laluan yang ditetapkan.
Program anjuran bersama KMKK Bintangor dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.46 Meradong itu mendapat sokongan penduduk apabila setiap zon kampung menghantar kira-kira 20 wakil untuk mengambil bahagian.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab turut menyertai program berkenaan yang menjadi wadah mempereratkan hubungan antara masyarakat.
Dalam ucapannya, beliau mengajak masyarakat supaya sentiasa mempertahankan keharmonian yang dinikmati dengan mengukuhkan kerjasama serta saling menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya, perpaduan masyarakat menjadi landasan penting dalam memastikan usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar, selain membolehkan manfaatnya dinikmati bersama oleh penduduk tanpa mengira kaum.
