Cegah jerebu berulang lebih baik dari tuntut ganti rugi

KUCHING: Koordinasi antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia bagi mencegah masalah jerebu rentas sempadan terus diperkasakan melalui pasukan tindakan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamid berkata pasukan tindakan ini mencegah masalah jerebu dari berterusan berlaku setiap tahun yang berpunca daripada cuaca panas. 

“Pendekatan pencegahan diambil secara proaktif kerana Malaysia berpandangan langkah pencegahan adalah lebih baik daripada menuntut ganti rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi (HLC) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bersama Kerajaan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim.

Ahmad Zahid menjelaskan, jerebu yang berlaku dengan pantas memerlukan kerajaan mengambil tindakan pencegahan dan kesiapsiagaan digerakkan lebih awal berdasarkan ramalan cuaca, data serta penilaian risiko.

Justeru, kata kerajaan menyediakan peruntukan RM5 juta bagi operasi pembenihan awan (OPA) dan pengurusan operasi berkaitan pada 2026, masing-masing RM2 juta bagi fasa pertama diluluskan 2 Jun lalu dan RM3 juta fasa kedua, 2 September lalu.