KUCHING: Kerajaan mengambil keputusan bahawa operasi pembenihan awan tidak lagi perlu menunggu permintaan rasmi kerajaan negeri dalam menangani masalah jerebu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya kata beliau, tindakan itu boleh dilaksanakan berdasarkan nasihat profesional Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata, pendekatan itu bertujuan meningkatkan bekalan air di kawasan tadahan atau takungan air yang kritikal, khususnya di Sarawak.
“Pendekatan pencegahan diambil secara proaktif kerana kita berpandangan langkah pencegahan adalah lebih baik daripada menuntut pampasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi (HLC) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bersama Kerajaan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim.
Ahmad Zahid menjelaskan, koordinasi di antara Malaysia dan Indonesia dalam menangani isu jerebu rentas sempadan turut diperkasakan menerusi pasukan tindakan bagi memastikan masalah titik panas akibat cuaca panas dapat ditangani secara lebih berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan pengurusan aset bencana, Ahmad Zahid berkata, terdapat cadangan supaya aset seperti bot dan kenderaan berat untuk kegunaan agensi kerajaan negeri, termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dibeli oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Katanya, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah berkaitan pembelian dan penyelenggaraan aset yang dihadapi sebelum ini.
Beliau berkata, sistem amaran awal juga akan diperkukuhkan di peringkat daerah dan lokaliti berdasarkan khidmat nasihat profesional METMalaysia bagi membolehkan proses pemindahan mangsa dilakukan lebih awal.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan memastikan dokumen penting dapat diselamatkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menghargai kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk penggunaan radio amatur apabila sistem komunikasi biasa terjejas.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menambah baik sistem penyediaan makanan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan menyediakan makanan yang dimasak melalui pengurusan bersama sukarelawan.
