STOLport terima pendaratan pertama hari ini

SPAOH: Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling mencipta detik bersejarah apabila menerima pendaratan pertama sebuah pesawat di sini, hari ini.

Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, pencapaian itu menjadi langkah signifikan ke arah memperkukuhkan jaringan perhubungan udara melibatkan kawasan Betong, Spaoh dan Bukit Sadok.

Dibangunkan sebagai Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport), kemudahan berkenaan dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan udara, selain menyokong pembangunan kawasan agropolitan di bahagian berkenaan.

Kemudahan itu turut menyediakan alternatif pengangkutan bagi menyokong pergerakan hasil pertanian dari kawasan Bukit Sadok, sekali gus berpotensi memperluaskan akses pasaran serta meningkatkan kecekapan penghantaran produk pertanian.

Antara komponen utama STOLport Bebuling ialah landasan Code 2B sepanjang 1,190 meter dan lebar 23 meter, selain taxiway sepanjang 185 meter serta apron untuk parkir pesawat.

Projek berkenaan turut dilengkapi helipad, bangunan terminal, menara kawalan dan kemudahan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Pesawat (AFRS) bagi menyokong operasi serta aspek keselamatan penerbangan.

Selain itu, jalan akses utama sepanjang kira-kira 645 meter bersama beberapa kemudahan sokongan turut dibangunkan bagi memastikan kelancaran operasi dan kemudahan pengguna.

STOLport Bebuling direka untuk menampung operasi beberapa jenis pesawat yang bersesuaian termasuk DHC-6 Twin Otter, Cessna 208 Caravan, Cessna 408 SkyCourier dan Beechcraft King Air 350i.

Pendaratan pertama itu menjadi simbol kemajuan baharu sektor pengangkutan udara di kawasan Betong, selain membuka peluang kepada peningkatan aksesibiliti serta pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan sekitarnya.

Foto: JKR Sarawak