Penduduk Mupong-Teluk Gelam bakal nikmati jalan baharu

SARIKEI: Penduduk Mupong akan mendapat kemudahan perhubungan darat yang lebih baik menerusi pembinaan jalan baharu sepanjang 5.8 kilometer (km) menghubungkan kawasan itu dengan Teluk Gelam, membabitkan kos lebih RM80 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, projek berkenaan yang dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan pembinaan dua jambatan serta tiga laluan cabang bagi meningkatkan keterhubungan antara kawasan berkenaan.

“Pelaksanaan projek itu amat dinantikan penduduk terutama mereka di Teluk Gelam yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai.

“Dengan adanya jaringan jalan raya ini, pergerakan penduduk ke kawasan sekitar seperti Mupong, Sibu dan Tanjung Manis akan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Penempatan Baru Nelayan RGC Pulau Bruit dan Penempatan Rumah Panjang Mupong, hari ini.

Abdullah berkata, isu berkaitan tanah turut menjadi perhatian penduduk Mupong yang mahu hak serta kepentingan tanah, khususnya kawasan berstatus Hak Adat Bumiputera (NCR), terus terpelihara.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, masalah ketiadaan bekalan air terawat turut disuarakan penduduk dan perkara itu akan diberi perhatian bagi mencari kaedah terbaik.