Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang dinaik taraf

KABONG: Sebanyak RM187,000 diperuntukkan bagi menaik taraf Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi kawasan DUN itu.

Menurutnya, antara skop penambahbaikan termasuk pemasangan lampu solar di sekitar arena bagi meningkatkan pencahayaan dan keselesaan pengguna.

“Usaha menaik taraf ini penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan dimanfaatkan oleh komuniti petanque,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Randau bersama Kelab Boules Kabong di Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang, petang tadi.

Dalam majlis sama, Chee Kadir turut menyumbangkan RM5,000 kepada Kelab Boules Kabong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program kelab.

Beliau turut menzahirkan tahniah kepada dua anak jati Kabong, Watziq Zulfiqrie Dahlan dan Muhamad Aiman Hazwan Abdul Kadir, yang mencipta kejayaan pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Watziq Zulfiqrie meraih pingat emas acara petanque bersama Muhamad Irfan Syazani Fazarullah, manakala Muhamad Aiman Hazwan membawa pulang pingat perak pada temasya berkenaan.