PEKEMA jangkakan industri automotif bakal berdepan saingan tahun depan

KUCHING: Sambutan menggalakkan terhadap PEKEMA EVfy Run 2026 yang menghimpunkan lebih 2,000 peserta anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) membuka ruang untuk acara berkenaan diteruskan sebagai program tahunan.

Presiden PEKEMA Malaysia, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program menawarkan larian tiga dan tujuh kilometer (km) dengan penyertaan melebihi sasaran awal 1,200 peserta.

“Sambutan menggalakkan pada tahun ini. Malah, acara ini boleh diperluaskan ke bandar-bandar lain di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian pelepasan peserta larian berkenaan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi dan Naib Presiden PEKEMA Sarawak merangkap Pengerusi Pengelola PEKEMA, Yusuf Roy Fitri Mohamad Johnny.

Selain acara larian, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada beberapa badan kebajikan.

Antara penerima adalah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (PERYATIM), Sarawak OKU Skills Development Association (SOSDA) dan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) dan ini merupakan sebahagian daripada usaha menyokong golongan yang memerlukan.

Dalam pekembangan lain, Mohamed Nazari berkata, PEKEMA menjangkakan industri automotif negara akan berdepan persaingan lebih mencabar pada 2027.

Saingan itu katanya, disebabkan kemasukan jenama baharu dari China serta perubahan kecenderungan pengguna kepada kenderaan elektrik (EV).

“PEKEMA mewakili kira-kira 400 ahli menggalakkan anggotanya turut menceburi pengedaran EV.

“Bagaimanapun, perniagaan automotif sedia ada tetap diteruskan,”katanya.

Pada masa kini jelasnya, jualan kenderaan dalam kalangan ahlinya kekal sekitar 45,000 hingga 47,000 unit setahun.- NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI