YKN, JKM sampaikan bantuan kepada keluarga mendiang Debra

PADAWAN: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyampaikan bantuan tunai kepada keluarga mendiang Debra Moset, mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, 8 September lalu.

Bantuan tunai RM3,000 menerusi pemberian ehsan kepada Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA YKN) itu sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mendiang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Dato’ Sri Nancy Shukri menyampaikan bantuan itu kepada suami mendiang, John Then Hua Ken di kediaman mendiang, Kampung Semadang di sini, hari ini.

“Bantuan ini antara sokongan awal kepada keluarga mangsa. Dalam keadaan seperti ini, kehadiran dan perhatian kita amat penting agar keluarga yang sedang berduka tidak berasa bersendirian,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Mohd Daud Mohd Ari.

Terdahulu, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr. Maziah Che Yusoff menziarahi keluarga Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamaruddin di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu,
Kelantan. Bantuan serupa turut dihulur pada 18 September lalu.

Bantuan sama diselaraskan untuk disampaikan kepada keluarga tiga lagi mangsa, iaitu Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Senawang, Negeri Sembilan serta keluarga mendiang Alexson Adit Henry dan mendiang Jessie Paya Jok di Miri.

Ibu mendiang Debra, Renog Rasas akan menerima Bantuan Warga Emas (BWE) bermula Oktober ini.

Renog juga dalam proses menerima Kenyalang Gold Card (KGC) dan Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) di bawah JKM Sarawak.

Pihak JKM juga melawat keluarga mendiang pada 14 September lalu dan bantuan disyorkan kepada suami mendiang, John Then Hua Ken ialah Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 dan sesi kaunseling bersama Pegawai Psikologi PKMB Kuching.