Siri Akhir GP Joran Belawai 13 Disember depan

TANJUNG MANIS: Sebanyak RM10,000 disumbangkan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh untuk penganjuran Siri Akhir GP Joran Belawai yang dijadual berlangsung pada 13 Disember depan.

Sumbangan itu katanya bagi memastikan kelancaran penganjuran pertandingan yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan penjaja kecil di Belawai.

Katatnya, sambutan terhadap pertandingan itu semakin menggalakkan apabila Siri II yang berlangsung hari ini berjaya menarik penyertaan pemancing dari luar negara.

“Perkembangan ini menunjukkan GP Joran Belawai mampu memperkenalkan Belawai kepada orang ramai,” katanya ketika pada majlis penangguhan pertandingan hari ini.

Sementara itu, Mohammad Shahadam Sahminan dari Mukah muncul juara GP Belawai Siri II selepas menaikkan ikan gerut seberat 1.6 kilogram untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

Mohamad Isa Alias di tempat kedua dengan hadiah RM3,000, manakala Ahmad Udar ketiga selepas masing-masing menaikkan ikan pari seberat 358 gram dan 328 gram.

Pertandingan anjuran Jabatan Perikanan Laut (JPL) Malaysia dengan kerjasama Iftitah Restaurant & Resort itu disertai 324 pemancing.