Ahmad Johnie terus perjuangkan pendidikan luar bandar

SIBU: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie menegaskan pendidikan terus menjadi keutamaan yang akan diperjuangkannya pada persidangan Parlimen nanti.

Beliau berkata, ini bagi memastikan anak-anak di luar bandar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan setara.

“Oleh itu, saya mengingatkan warga pendidikan agar terus melaksanakan amanah dengan dedikasi dan integriti.

“Selain itu, menjadikan pengiktirafan ini sebagai suntikan semangat bagi meningkatkan kecemerlangan dan mutu perkhidmatan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Penghargaan Pendidikan dan Majlis Sanjungan Budi, Kilauan Bakti Pejabat Pendidikan Daerah Daro Tahun 2026 yang menghimpunkan sekitar 500 Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Ahmad Johnie mengucapkan tahniah dan syabas kepada 94 penerima APC serta penghargaan kepada 35 pesara atas segala jasa, khidmat sepanjang perkhidmatan.

Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Daro, Mohd Yusri Azhar Abdullah @ Leo Takip, Pengarah Urusan BMCT Holding Sdn. Bhd, Mohamad Mohadiruddin Semain.