Parti PBB Cawangan Krian terima 150 keahlian baharu

SARATOK: Sebanyak 150 borang permohonan keahlian baharu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diterima oleh Cawangan N.39 Krian menerusi Program Santai Segulai Sejalai di Rumah Elai, Nanga Entaih, Ulu Krian, di sini, semalam.

Ketua Cawangan Parti PBB N.39 Krian, Bell Aggan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli baharu yang memilih untuk bersama parti berkenaan.

Beliau turut menghargai keyakinan yang diberikan terhadap kepimpinan Parti PBB – Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meneruskan agenda pembangunan dan kemajuan Sarawak secara berterusan.

Bell yang juga Setiausaha Politik Premier Sarawak turut menekankan kepentingan perpaduan, kerjasama dan semangat Segulai Sejalai dalam memastikan hubungan antara kepimpinan parti dengan akar umbi terus diperkukuh.

“Semangat Segulai Sejalai perlu terus diperkukuh bagi memastikan hubungan antara kepimpinan parti dengan akar umbi kekal erat,” katanya pada majlis tersebut.

Program ini dianjurkan sebagai wadah untuk menyantuni ahli-ahli parti di peringkat akar umbi, serta mengukuhkan hubungan silaturahim.

Ia turut menjadi platform untuk menyampaikan hala tuju dan perkembangan semasa Parti PBB, khususnya di peringkat cawangan dan negeri.

Cawangan Krian turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Premier Sarawak untuk meneruskan agenda pembangunan dan kepentingan Sarawak dalam menghadapi PRN-13 akan datang.