KUCHING: Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak dengan PBT di Indonesia dicadang bagi meningkatkan kesedaran dan mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka yang menjejaskan kualiti udara di negeri ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, langkah itu merupakan pendekatan mesra dalam menangani isu jerebu rentas sempadan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan disaran kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan PBT lain di Sarawak.
“PBT Sarawak boleh bekerjasama dengan Sambas, Singkawang, Pontianak serta kawasan berkaitan.
“Ini bagi meningkatkan kesedaran dan mencari penyelesaian untuk mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Hari Pembersihan Sedunia DBKU 2026 di Dewan Sepakat Jaya, Demak, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata, pendekatan antara bandar itu mampu melengkapi usaha di peringkat ASEAN serta kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia dalam menangani isu berkenaan.
Menurutnya, Sarawak turut menerima kesan apabila asap daripada kebakaran hutan dan pembakaran terbuka di negara jiran dibawa angin ke negeri ini.
Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah entiti melibatkan kerajaan dan swasta bagi menguruskan sisa biojisim yang boleh ditukar kepada tenaga, sekali gus mengurangkan pembakaran terbuka.
“Teknologi waste-to-energy (WtF) boleh dimanfaatkan dengan memproses sisa menggunakan insinerator untuk menghasilkan haba bagi menjana tenaga elektrik,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman berkata, persekitaran bandar bersih, selesa dan selamat menerusi pembudayaan amalan kebersihan serta gaya hidup lestari menjadi keutamaan.
Jelasnya, penganjuran Hari Pembersihan Sedunia DBKU sejak 2018 menjadi platform membudayakan kebersihan dan tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar.— NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
