KUCHING: Program Perantis menjadi platform melatih, membimbing dan menyediakan lebih ramai wanita menyertai barisan kepimpinan termasuk bidang politik.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, penyertaan wanita Sarawak dalam program itu menunjukkan peningkatan daripada dua orang pada peringkat awal kepada 15 peserta tahun ini.
“Kita memang mahu melihat kepimpinan wanita di seluruh negara, terutamanya wanita di Sarawak.
“Daripada dua peserta, naik kepada lapan dan tahun ini 15 orang dari Sarawak jadi ini satu peningkatan besar,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program PERANTIS PTS 062, di sini, hari ini.
Beliau berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada kepimpinan secara menyeluruh tanpa mengehadkan penyertaan wanita kepada bidang tertentu.
Menurutnya, wanita yang mampu berdikari juga dapat menjadi contoh kepada anak-anak supaya tidak bergantung kepada orang lain.
Nancy berkata, wanita turut perlu dilatih dengan kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, termasuk melalui produk dan keusahawanan.
“Wanita bukan sahaja perlu memimpin, malah harus bijak mencipta peluang ekonomi melalui keusahawanan, membuka peluang pekerjaan dan menggunakan kemahiran yang ada untuk menjana pendapatan,” tambahnya.
Nancy turut menyifatkan penyertaan wanita daripada pelbagai latar belakang sebagai ruang untuk berkongsi kemahiran, menerima perbezaan dan saling membantu. – AYLA MEDINA/ Foto: HERRIEY NAHA
