DARO: Institusi keluarga perlu diperkukuhkan sebagai benteng awal dalam menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda, terutama ketika masyarakat berdepan perubahan gaya hidup dan perkembangan teknologi pesat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, hubungan kekeluargaan yang kukuh serta komunikasi sihat antara ibu bapa dan anak-anak mampu mengurangkan risiko golongan muda terjebak perkara negatif.
Katanya, keluarga perlu menjadi tempat selamat untuk anak-anak mendapatkan sokongan, perhatian dan kasih sayang ketika berdepan tekanan atau masalah kehidupan.
“Apabila komunikasi dalam keluarga baik, anak-anak lebih mudah berkongsi masalah, manakala ibu bapa pula dapat memahami keperluan serta perkembangan mereka. Pada masa sama, suasana keluarga yang harmoni dapat membentuk nilai positif seperti saling menghormati, bertanggungjawab dan penyayang,” katanya.
Terdahulu semalam, Dr Safiee menyempurnakan Majlis Penangguhan Seminar Keluarga Islam sempena Karnival Cinta Rasul Peringkat Daerah Daro Tahun 1448H/2026M di Dewan Masyarakat Daro.
