Pekebun kecil kelapa sawit, lada terima bantuan baja

MUKAH: Bantuan Baja Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) Fasa Keempat Tahun 2026 mula diagihkan secara berfasa kepada 103 penerima di kawasan ini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, bantuan ini bukan sahaja dapat meringankan kos pengeluaran, malah mampu meningkatkan produktiviti, hasil serta pendapatan petani.

“Terima kasih dan penghargaan kepada Jabatan Pertanian atas inisiatif berterusan membantu petani dan pekebun kecil mendapatkan input pertanian yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian bersama ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi menghadiri sesi penyerahan bantuan terbabit di sini, hari ini.

Royston berharap semakin ramai petani khususnya di kawasan ini memanfaatkan kemudahan ini, supaya sektor pertanian terus berkembang, lebih moden dan produktif serta menjadi sumber pendapatan mampan.

“Saya menggalakkan petani yang masih belum berdaftar supaya mendaftarkan dalam Sistem e-Tani,” tambahnya. – Foto: Ihsan N.57 Tellian